SEKOLAH IZZUDDIN SHAH


Sekolah Izzuddin Shah (SIS) merupakan sekolah menengah agama yang pertama ditubuhkan di Malaysia berorientasikan sekolah berasrama penuh khas untuk pelajar lelaki dan menawarkan kedua-dua aliran pengajian agama berasaskan kurikulum institusi pengajian Islam terkemuka dunia iaitu al-Azhar serta kurikulum kebangsaan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ditubuhkan pada 1959, sekolah ini merupakan antara idea cetusan Menteri Besar Perakyang pertama selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Tan Sri Haji Ghazali bin Jawi dan telah dinamakan sempena Ke Bawah DYMM Paduka Sultan Perak Sultan Yusuf Izzuddin Shah yang turut berkenan mencemar duli merasmikan sekolah tersebut pada tahun yang sama. Selain daripada sekolah ini, satu lagi sekolah yang mempunyai orientasi yang sama tetapi khas untuk pelajar perempuan turut didirikan setahun kemudian iaitu Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) dan terletak kira-kira 5 kilometer dari SIS dan berhampiran dengan kediaman rasmi Menteri Besar Perak Darul Ridzuan. Pada waktu tersebut, SIS (dan SERATA) mula membuka kelas untuk tingkatan satu dengan menerima pelajar-pelajar Melayu dari sekolah-sekolah Melayu serata Perak, khususnya di sekitar Ipoh. Kumpulan pertama pelajar SIS ini belajar sehingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). SIS menawarkan pembelajaran sehingga kelulusan SPM dan pada awal tahun 80-an, sekolah mula menawarkan pembelajaran di tingkatan enam dengan kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan menawarkan kelas tingkatan enam kepada pelajar perempuan.

Landskap sekolah

SIS mempunyai 5 blok asrama, yang menempatkan kesemua kira-kira 600 orang pelajar. Terdapat sebuah dewan besar yang dinamakan bersempena Tan Sri Ghazali bin Jawi, dan digunakan untuk acara-acara rasmi serta sebagai gelanggang sukan badminton. Selain itu juga, sekolah ini turut mempunyai sebuah perpustakaan yang dinamakan Perpustakaan Tun Datu Haji Mustapha, bersempena nama Ketua Menteri Sabah. Suatu ketika dahulu, kerajaan negeri Sabah pernah menghantar sejumlah pelajar ke sekolah ini dan Tun Datu Haji Mustapha pernah menyumbang ke arah pembangunan sekolah. Seperti lazimnya sekolah ini turut dilengkapi kemudahan seperti pejabat pentadbiran, bilik-bilik darjah, bilik guru, makmal-makmal sains, bengkel Kemahiran Hidup, makmal komputer serta turut dilengkapi dengan sebuah bilik mesyuarat, makmal bahasa, bilik audio visual, bilik PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) dan sebuah bilik seminar.

SIS juga turut mempunyai sebuah padang dan beberapa gelanggang bola tampar dan takraw. Sebuah kawasan berhampiran padang sekolah dikenali sebagai Dataran Ilmu digunakan sebagai tapak perhimpunan dan turut digunakan sebagai gelanggang sepak takraw. SIS turut mempunyai sebuah dewan makan bersebelahan kantin dan uniknya, bangunan dewan makan sekolah berbentuk huruf ‘U’.

Oleh kerana sekolah ini merupakan sebuah sekolah berasrama penuh, 6 buah rumah guru yang menempatkan guru berjawatan warden turut didirikan bersama sebuah rumah Pengetua.

SIS juga turut mempunyai sebuah surau diri Jumaat yang dikenali sebagai Musolla Al-Azam. Kedua-dua solat sunat hari raya turut diadakan di sini.

Oleh kerana SIS menerima pelajar perempuan untuk belajar di tingkatan enam, pelajar-pelajar tersebut ditempatkan di asrama SERATA dan berulang-alik antara SIS dan SERATA dengan menggunakan perkhidmatan bas atau transit milik sekolah.